Sunday, June 6, 2010

Six Malaysian on MV Rachel Corrie Will Be Release


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan Israel selepas kapal 'Rachel Corrie' yang dinaiki mereka ditawan rejim itu semalam, akan dibebaskan dan dibawa masuk ke Jordan pada pukul 6 petang hari ini waktu Malaysia.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar Jordan kepada Kedutaan Malaysia di Amman.

"Kedutaan kita di Amman sekarang sedang membuat segala persiapan yang perlu untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke Malaysia," katanya kepada pemberita pada hari Ahad.

Beliau sebelum itu menyambut kepulangan 12 rakyat Malaysia termasuk dua warga media yang sebelum ini ditahan Israel selepas kapal 'Mavi Marmara' yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditawan tentera rejim Zionis itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata usaha membawa pulang enam rakyat negara termasuk dua lagi warga media sedang diusahakan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Amman dan Kedutaan Thailand di Tel Aviv, Israel.

Enam rakyat Malaysia itu ialah wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Ahmad Faisal Amuzu dan Mathias Chang, Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria serta dua wakil media dari TV3, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin.

Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan penahanan kapal 'Rachel Corrie' dan kesemua 19 penumpang serta krewnya oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Mereka telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan kesemua 19 penumpang dan krew kapal termasuk enam rakyat Malaysia bagaimanapun berada dalam keadaan selamat," kata beliau.

Mengulas perkara berkaitan, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk menjayakan sebarang misi kemanusiaan ke atas rakyat Palestin.

"Terserah kepada rakyat Malaysia, sekiranya mereka ingin membuat tindakan, ia sesuatu yang kerajaan tidak akan halang.

"Kita menyokong inisiatif dan nampak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengepalai misi yang baik ini. Kita akan sokong dan beri sokongan moral dalam menjayakan inisiatif seperti ini. Kita akan bantu dalam apa bentuk pun yang sewajarnya. Apa yang perlu kita lakukan, kita akan lakukan," katanya.

-- BERNAMA

1 comments:

Aby Umy on June 8, 2010 at 3:22 AM said...

berkunjung pagi sobat,,,

Post a Comment

 

Advertisement

Status

sitemeter

Cbox

MOBILE2GO Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal