Tuesday, February 1, 2011

Situasi Terkini diMesir: Kenyataan dari Wisma Putra.

Saudara sekelian, memang kita mengikuti perkembangan yang berlaku di Mesir ketika ini. Apa yang boleh kita lakukan kini adalah menerima apajua berita dari sumber yang sah dan tidak mengelirukan. Banyakkan berdoa agar anak-anak atau saudara mara seagama kita yang berada disana didalam keadaan selamat dan dilindungi Allah. Doakan jua agar musibah yang berlaku disana akan segera kembali aman, apalah upaya kita pada ketika ini kerana perhubungan telah diputuskan kepada dunia luar termasuk stesen TV AlJazeera juga diarahkan ditutup.

Berikut adalah kenyataan akhbar dari Wisma Putra.

Menurut maklumat yang diterima daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir, setakat jam 12.00 tengah hari, 31 Januari 2011, semua penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir adalah dilaporkan selamat. Pihak Kedutaan Besar Malaysia terus memantau perkembangan semasa di Mesir dan melaporkan sebarang perkembangan terkini kepada Kementerian Luar Negeri.

Statistik pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah adalah seramai 11,319 orang. 

Klasifikasi tahap keselamatan dinaikkan ke tahap Oren : situasi telah mula membahayakan rakyat Malaysia. Adalah dinasihatkan supaya rakyat Malaysia menangguhkan semua perjalanan/lawatan yang tidak penting (non-essential) ke Mesir. Rakyat Malaysia yang berada di Mesir pula telah dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa Mesir termasuk arahan perintah berkurung serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya seperti yang dimaklumkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Untuk makluman, rusuhan dan pergaduhan dilaporkan yang berlaku hanya melibatkan rakyat Mesir sahaja dan tidak melibatkan orang asing.

Untuk makluman, perintah berkurung yang dikenakan oleh Kerajaan Mesir di semua bandar raya utama termasuk di Kaherah dan Iskandariah telah dipanjangkan kepada 4.00 petang sehingga 8.00 pagi. Walau bagaimanapun, penunjuk perasaan masih berdemonstrasi di kebanyakan bandar raya utama.

Selain itu semua saluran komunikasi melalui internet/e-mel serta sistem pesanan ringkas (SMS) di kawasan Kaherah, Iskandariah dan beberapa tempat lain masih lagi digantung operasinya oleh Kerajaan Mesir. Walau bagaimanapun, talian telefon bimbit sudah boleh digunakan bermula jam 10.00 pagi, 29 Januari 2011 (waktu tempatan).

Berkenaan aduan umum berkenaan kelewatan tindakan yang diambil oleh Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah berkenaan perkara ini, pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memaklumkan keadaan terkini kepada semua rakyat Malaysia di Mesir. Pihak Kementerian dan Kedutaan juga telah membuka bilik operasi 24 jam sejak 28 Januari 2011 yang boleh dihubungi oleh waris rakyat Malaysia di Mesir. Walau bagaimanapun,keadaan talian telefon yang kurang stabil di Mesir telah mengakibatkan perhubungan dengan pihak Kedutaan terganggu

Pihak Majlis Keselamatan Negara telah mengadakan mesyuarat kali kedua bagi membincangkan pemindahan (evacuation) pelajar Malaysia. Satu pasukan tinjauan yang diketuai oleh YB Senator A. Kohilan Pillay. Timbalan Menteri Luar Negeri  bersama pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri telah berlepas ke Mesir bagi menilai keadaan semasa di negara itu sebelum sebarang pemindahan rakyat Malaysia dibuat.

Bilik operasi Kementerian Luar Negeri dan bilik operasi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah boleh dihubungi seperti berikut:


Bilik Operasi, Kementerian Luar Negeri
Tel:     03-88892746 / 03-88874570 / 019-2784566

Bilik Operasi, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir
Tel:     00 202 3760 7375 (Nombor Baru)


Kementerian Luar Negeri
PUTRAJAYA

31 Januari 2011
 

0 comments:

Post a Comment

 

Advertisement

Status

sitemeter

Cbox

Add to Technorati Favorites, Technology Blogs - Blog Catalog Blog Directory, mobile2go at Blogged, mobile2go at Blogged,

MOBILE2GO Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal